KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa satu, yang mula beroperasi semalam.

Ketibaan Perdana Menteri pada kira-kira 3.20 petang di LTSIP disambut oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud sebelum beliau meluangkan masa hampir 30 minit beramah mesra dengan orang awam serta melihat fasiliti dan kemudahan baharu di LTSIP.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (PPNK) Jasri Kasim.

Pengoperasian fasa satu terminal itu mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan mampu menampung empat juta penumpang.

Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, tempat meletak kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta.