PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh jemaah menteri hari ini menzahirkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh petugas yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung pada 31 Ogos lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri juga menzahirkan ucapan yang sama kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Perpaduan Negara atas segala persiapan dan perlaksanaan acara-acara bagi sambutan itu.

Beliau berkata Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terharu dengan komitmen yang ditonjolkan oleh semua petugas, terutama persembahan daripada pasukan ‘human graphic’ yang menampilkan persembahan cukup hebat.

“Perdana Menteri (PM) mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih terutama kepada pasukan human graphic yang dijayakan oleh pelajar sekolah menengah dan beliau meminta supaya diadakan satu acara (khas) sebagai tanda penghargaan.

“Di peringkat kementerian kita memang akan aturkan satu majlis apresiasi, namun PM juga minta untuk dipertimbangkan pemberian sesuatu kepada pasukan human graphic ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata komitmen yang diterjemahkan menerusi persembahan merdeka itu turut menampilkan kelainan pada sambutan kali ini dan dalam masa yang sama ‘menghadiahkan’ suasana menarik kepada hadirin serta penonton di rumah.

Beliau berkata perdana menteri juga optimis bahawa semangat cintakan negara berjaya disemarakkan menerusi sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya serta di peringkat negeri, dan mahukan supaya semangat itu berterusan.

Menyentuh mengenai lawatan kerja Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke Malaysia, Fahmi berkata beberapa perkara turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, terutamanya berkenaan isu yang melibatkan langkah susulan daripada kementerian-kementerian yang berkaitan.

“...diharap hubungan erat ini (Malaysia dan New Zealand) bawa pulangan hasil kepada negara dan rakyat Malaysia,” katanya.

Luxon berada di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari bermula semalam hingga esok bagi meningkatkan kerjasama dan perbincangan dua hala. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan Nov 2023.

Sementara itu menyentuh tentang penganjuran Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra di Kulai, Johor pada Jumaat dan Sabtu ini, Fahmi berkata ia adalah antara usaha kerajaan meningkatkan kesedaran awam tentang literasi digital.

“Ini juga usaha kementerian di peringkat komuniti dan masyarakat (agar) tidak wujud salah faham akibat daripada sebaran maklumat palsu selain untuk menyedarkan umum tentang bahaya jenayah dalam talian,” katanya.

Terdahulu Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan karnival siri pertama itu melibatkan pelbagai jabatan dan kementerian seperti Kementerian Komunikasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Turut terlibat Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta syarikat telekomunikasi seperti U Mobile, CelcomDigi, Maxis dan YTL (YES).

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web karnival.komunikasi.gov.my serta media sosial rasmi Karnival Komunikasi (Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok).