ALOR GAJAH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah melaksanakan 134 serbuan di sekitar daerah itu dan menahan 161 individu terlibat dalam aktiviti perjudian dalam tempoh 1 Jan hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata daripada jumlah itu, sebanyak 28 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata kesemua tindakan dilakukan di bawah Seksyen 38(A) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 21A, Seksyen 4A(a) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Operasi membanteras aktiviti perjudian termasuk penjualan nombor loteri awam tanpa lesen, penjualan ID dan kata laluan judi dalam talian serta ‘top up’ judi dalam talian di dalam dan luar premis sekitar Alor Gajah.

“Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terutama melibatkan serbuan di premis yang menjalankan aktiviti perjudian,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sembilan premis di sekitar Alor Gajah antaranya di Taman Samarinda, Taman Seri Pelangi dan Taman Sebang Mutiara melibatkan 15 anggota polis, petugasTNB dan MPAG.

Azrul berkata berdasarkan operasi dan pemantauan yang dilaksanakan terdapat premis sama yang menjalankan aktiviti perjudian dan telah diambil tindakan pemotongan elektrik tetapi masih ingkar dengan melakukan penyambungan secara haram.

Sehubungan itu, penguatkuasaan lebih ketat akan dilakukan iaitu penyambungan semula bekalan elektrik di premis berkenaan perlu mendapatkan sokongan bertulis daripada Ketua Polis Daerah Alor Gajah.

“Pemilik atau penyewa premis yang ingin membuat penyambungan semula juga perlu mengisytihar aktiviti perniagaan yang ingin dijalankan dalam usaha membanteras pengoperasian semula premis judi haram,“ katanya.