GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan dan kelancaran trafik pada sambutan Thaipusam esok susulan penugasan anggota di sekitar Batu Caves dekat sini dilaksanakan secara 24 jam.
Timbalan Pengarah Perancangan Strategik Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk K.Kumaran berkata pihaknya menempatkan anggota dan pegawai sekitar Batu Caves bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin selain kelancaran lalu lintas.
“Pengunjung perlu menjaga keselamatan diri sendiri terutamanya daripada penyeluk saku, ini perkara yang perlu waspada. Sekiranya menjadi mangsa, kita mempunyai markas PDRM dalam kawasan kuil untuk mereka mendapatkan bantuan,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program ‘Community Policing Thaneer Panthal’ sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini, hari ini.
Turut hadir Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman SAC G. Seetha Dewi M. G Nair, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan KDNKA Bukit Aman DCP M.V Sri Kumar.
Terdahulu, Kumaran bersama beberapa pegawai kanan PDRM menyampaikan beg mengandungi risalah pencegahan jenayah dan air kepada pengunjung Kuil Sri Subramaniar Swamy bagi meneruskan tradisi ‘Community Policing Thaneer Panthal’.
Beliau berkata amalan yang dilaksanakan sejak 1992 itu diteruskan tahun ini dengan penglibatan 88 petugas terdiri daripada anggota dan pegawai polis.
“Ini merupakan pendekatan setiap tahun untuk mendekati masyarakat terutamanya yang berbangsa India selain bangsa lain di negara ini dan pengunjung dari luar negara.
“Selain itu, ini sebagai platform untuk sampaikan mesej yang relevan dengan polis kepada masyarakat,“ katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 1,306 anggota polis dan pegawai polis daripada Kontinjen Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa lagi kontinjen berhampiran ditugaskan bermula Sabtu lepas hingga perayaan berkenaan selesai pada 14 Feb ini.
Tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan ditutup secara berperingkat mengikut keadaan semasa mulai tengah malam semalam hingga 14 Feb bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan terlibat berikutan kehadiran ramai pengunjung ke kuil itu.
Lokasi terbabit termasuk lampu isyarat Kampung Melayu ke Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves, Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves serta susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan.
Turut ditutup simpang tiga Jalan Seri Batu Caves 8/Jalan Batu Caves Lama, simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves dan Jalan Susur Batu Caves Bypass menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves.
Selain itu, lebih 20 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula semalam bagi memberi laluan kepada perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee di sini menuju ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.
Jalan yang terlibat antaranya Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi.
Jalan Raja Laut, Jalan Belia, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima) dan Jalan Kepong Baru turut terbabit dengan penutupan dan lencongan.
Selain itu, perarakan balik pedati akan bermula pada Rabu (12 Feb) ini pukul 3 petang melalui laluan yang sama.