KUANTAN: Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian samun terhadap seorang pengajar pelaburan Forex oleh beberapa individu yang menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, di sini minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa telah membuat laporan polis pada 10 malam Khamis lepas.

“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 kanun sama kerana melakukan samun berkawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta individu yang melihat dan mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 42 saat menerusi media sosial memaparkan kejadian samun melibatkan individu menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran di sini.