KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai dalang utama kes penipuan pelaburan berasaskan saham keutamaan melibatkan kerugian berjumlah hampir RM2.32 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata suspek berusia lewat 30-an kali terakhir dilihat di Rawang, Selangor dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau berkata 279 laporan berkaitan diterima polis sejak 2023 dan siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau yang membenarkannya bergerak bebas ke luar negara sebelum dipercayai kembali ke Malaysia.
“Berdasarkan siasatan, mangsa dalam kes ini menyertai pelaburan setelah mengikuti webinar yang dianjurkan syarikat lelaki terbabit dan ditawarkan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan kepada setiap pelabur.
“Pada peringkat awal, pelabur memperoleh keuntungan yang dijanjikan namun kemudiannya pelbagai alasan diberikan dan pulangan yang dijanjikan tidak lagi dibayar,” katanya dalam sidang media JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Fikri Najib Ismail di talian 013-9839854 atau Insp Noor Azamin Noor Azahari di 011-65580848.
Mengenai fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), Rusdi berkata talian 997 kini beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu berbanding 8 pagi hingga 8 malam sebelum ini.
“Sejak beroperasi 24 jam (mulai bulan lepas) hingga 3 Ogos, NSRC menerima 10,038 panggilan iaitu 7,254 pada waktu siang dan 2,514 pada waktu malam dengan purata 358 panggilan sehari. Daripada jumlah itu, 51 peratus laporan kes penipuan, selebihnya adalah pertanyaan atau laporan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata jumlah kerugian yang dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini adalah sebanyak RM193 juta dan hanya RM12 juta berjaya dibekukan hasil kerjasama polis dengan semua bank melalui Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selebihnya dipercayai telah melalui proses layering (pindahan wang secara berperingkat). Wang yang dibekukan akan disita mengikut peruntukan undang-undang seperti Seksyen 116D Kanun Keseksaan dan akan dipulangkan kepada mangsa jika siasatan serta peraturan membenarkan,” katanya.
Rusdi berkata portal Semak Mule yang membolehkan orang ramai membuat semakan mengenai sebarang pelaburan pula merekodkan 35,828,901 carian sejak diperkenalkan pada 1 Jan 2015, dengan 272,250 akaun bank, 216,242 nombor telefon dan 14,160 syarikat telah disenarai hitam.
“Kita juga menggalakkan amalan ‘cooling-off period’ iaitu mengambil masa beberapa hari sebelum membuat pembayaran besar atau pelaburan susulan,” katanya dan menambah JSJK turut memohon agar BNM mempertimbangkan lanjutan tempoh cooling-off period pada perkara yang sesuai bagi melindungi pengguna- BERNAMA