• 2025-10-10 10:34 PM

BUTTERWORTH: Polis sedang memburu suspek kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mangsa berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan lehernya cedera dan tangan diikat manakala kepalanya diserkup dengan plastik.

Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.46 tengah hari dan siasatan di lokasi mendapati mangsa dijumpai dalam beg bagasi di kawasan berhampiran belakang flat tersebut.

Polis sedang menyiasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibungkus serta dimasukkan ke dalam beg seterusnya dicampak di kawasan tersebut.

Hasil bedah siasat oleh pakar forensik mendapati punca kematian adalah disebabkan sesak nafas dan identiti mangsa juga telah dikenal pasti selepas dicamkan oleh keluarga terdekat.

Azizee berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Lee Boon Han, 31, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Rabu lepas.

Difahamkan mayat ditemukan pekerja pembersihan saluran yang sedang menjalankan tugasan rutin di kawasan rumah pangsa berkenaan. – Bernama