IPOH: Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai along yang bertindak membaling cat terhadap tiga kereta di Taman Muhibbah, Sitiawan, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada seorang lelaki berusia 42 tahun pada 5.30 pagi.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kereta Proton X70, Proton Persona dan Nissan Almera yang diletakkan di hadapan rumah mangsa telah disimbah cat berwarna merah.

“Saksi awam di tempat kejadian menyatakan ternampak dua lelaki menaiki sebuah kereta dengan nombor pendaftaran tidak pasti telah lalu-lalang beberapa kali di kawasan perumahan terbabit,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat notis tergantung di pagar hadapan rumah mangsa iaitu gambar kad pengenalan seorang lelaki namun ia tiada kaitan dengan mangsa.

Hasbullah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Fairez Zulkafli menerusi talian 011-5761 7485 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung 05-688 6222 bagi membantu siasatan.