• 2025-07-07 03:16 PM

PASIR PUTEH: Polis sedang berusaha mengesan seorang remaja lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 29 Jun lalu di Selising, Pasir Puteh. Remaja berkenaan dikenali sebagai Muhammad Haikal Mohd Saidie, berusia 19 tahun dan tergolong dalam kategori OKU pembelajaran.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt Zaizul Rizal Zakaria, memaklumkan bahawa Muhammad Haikal dilaporkan hilang sekitar jam 9 pagi pada tarikh berkenaan. Mangsa yang berkulit cerah itu merupakan penduduk Kampung Banggol Saman, Selising.

“Kes ini disiasat dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH). Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ketua Balai Polis Selising, Pasir Puteh, Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Pasir Puteh di 09-7867222,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.