SEOUL: Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki dalam lingkungan usia 60-an pada Sabtu yang disyaki melakukan pembakaran dalam sebuah tren laluan bawah tanah di Seoul, insiden yang memaksa ratusan penumpang melarikan diri melalui terowong, lapor Agensi Berita Yonhap.
Suspek didakwa membakar beberapa helai pakaian di dalam tren Laluan No. 5 yang sedang bergerak antara Stesen Yeouinaru dan Mapo pada pukul 8.47 pagi (waktu tempatan), selepas menaiki tren dengan membawa pemetik api dan bekas bahan api, menurut polis dan saksi.
Lebih 400 penumpang melarikan diri melalui terowong, dengan 21 orang dihantar ke hospital akibat kecederaan seperti sesak nafas dan keretakan buku lali. Tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini.
Penumpang dan konduktor tren berjaya mengawal kebakaran menggunakan alat pemadam api sebelum api dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 10.24 pagi (waktu tempatan).
Pihak berkuasa Korea Selatan menghantar 230 anggota termasuk bomba dan polis ke lokasi kejadian.
Suspek ditahan polis berhampiran Stesen Yeouinaru pada pukul 9.45 pagi (waktu tempatan) selepas melarikan diri sejurus kejadian.
Perkhidmatan laluan antara Stesen Yeouido dan Aeogae digantung sementara sebelum disambung semula pada pukul 10.06 pagi (waktu tempatan).
Polis akan menyoal siasat suspek bagi mengenal pasti motif kejadian dan menjalankan pemeriksaan forensik di lokasi kebakaran.