• 2025-07-25 07:55 PM

PADANG BESAR: Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar berjaya mengutip RM44,730 dalam tempoh lima hari. Operasi ini melibatkan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padang Besar dan IPK Perlis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, “27 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini menyasarkan warga asing yang mempunyai saman trafik tertunggak. 420 kenderaan milik warga asing diperiksa dan hasilnya 299 saman atas pelbagai kesalahan berjaya diselesaikan.”

Saman tertunggak yang berjaya diselesaikan termasuk kesalahan memandu melebihi had laju (237 saman), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (25 saman), tidak mematuhi syarat permit (17 saman), serta tiada lesen memandu dan beberapa kesalahan lain (20 saman).

Kutipan tertinggi melibatkan sebuah van milik warga asing dengan 36 saman tertunggak bernilai RM5,780, yang diselesaikan sepenuhnya di lokasi operasi.

Mohd Shokri turut memaklumkan bahawa dari Januari hingga Julai tahun ini, IPD Padang Besar merekodkan 5,027 saman trafik, dengan 1,899 daripadanya berjaya diselesaikan. Kutipan hasil pembayaran saman setakat ini mencecah RM183,230. - Bernama