KUALA LUMPUR: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes berhubung satu hantaran berunsur fitnah dan provokatif di platform media sosial Threads melibatkan seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kertas siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebaik sahaja siasatan selesai.
“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada TPR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata satu laporan polis telah dibuat oleh artis terbabit pada 18 Julai lepas.
Beliau berkata laporan itu dibuat selepas individu berkenaan tidak berpuas hati dengan satu hantaran dimuat naik oleh pemilik akaun di aplikasi berkenaan yang didakwa mengandungi unsur fitnah, provokasi dan hasutan serta disebarkan kepada umum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama