• 2025-06-23 06:06 PM

MARANG: Sebanyak 577 individu terlibat dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di daerah Marang diberkas dalam tempoh 1 Januari tahun ini hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata tangkapan dibuat di bawah pelbagai seksyen termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, dan Seksyen 15 (1) ADB 1951.

Beliau berkata turut dirampas dalam tempoh itu pelbagai jenis dadah termasuk pil kuda, heroin, syabu, dan air ketum bernilai RM483,417.30.

“Kes terbaharu melibatkan enam suspek berusia 30 hingga 39 tahun yang ditahan dalam empat serbuan berasingan dalam tempoh seminggu bermula 16 Jun lepas.

“Ia sesuatu yang agak merisaukan dan perlu diberi perhatian lebih kerana melibatkan empat tangkapan 39B dalam masa tujuh hari di satu daerah yang kecil,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

Mohd Sofian berkata pihaknya percaya empat pengedar berkenaan memperoleh bekalan daripada sumber yang sama.

Justeru, pihaknya akan memperhebat penguatkuasaan dan operasi bagi memastikan daerah Marang bersih daripada jenayah dan pengedaran dadah.