KUALA LUMPUR: Polis akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara pada minggu ini bagi menentukan bentuk tindakan lanjut terhadap 10 lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel yang didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki senjata api.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tempoh tahanan 10 lelaki termasuk tiga warga asing di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu akan berakhir pertengahan Mei ini.

“Tujuh individu tempatan akan tamat tahanan di bawah SOSMA pada 14 Mei dan bagi tiga individu warga asing, tahanan mereka tamat pada 15 Mei,“ katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Pada 11 April lepas, lelaki Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru di sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Pada 8 April pula sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan.