IPOH: Polis selesai merakam percakapan seorang guru susulan dakwaan hantaran jelik di media sosial berhubung kemalangan maut membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata individu itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada 10 pagi tadi dan selesai sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.

“Kita akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah kertas siasatan siap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Hasbullah dilaporkan berkata pihaknya menerima satu laporan pada 11 Jun lepas mengenai hantaran itu daripada akaun Facebook pengguna yang menggunakan nama ‘Khalid Yunus’.