• 2025-07-09 05:17 PM

SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat insiden sekumpulan pengayuh basikal yang didakwa menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur arah Sungai Buloh pada Ahad lepas.

Setakat ini, keterangan empat individu telah dirakam, termasuk pemandu bas dan seorang penunggang basikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata, dua laporan polis telah diterima, tetapi tiada saman dikeluarkan kerana siasatan masih berjalan.

“Polis sedang mengesan kumpulan pengayuh basikal yang dipercayai terbabit dalam insiden ini,“ katanya.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi berhampiran lampu isyarat Batu Arang.

Kes ini disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.

Sebelum ini, tular video menunjukkan pertelingkahan antara kumpulan penunggang basikal dan pemandu bas sebelum dibantu oleh anggota dan pegawai JPJ yang kebetulan melalui kawasan tersebut. – Bernama