Polis tahan dua pasangan kekasih disyaki edar dadah

KUANTAN: Polis menahan dua pasangan kekasih yang disyaki mengedar dadah dan merampas kira-kira 5.71 kilogram pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai RM38,800 di sebuah rumah di Bandar Kuantan Puteri, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata keempat-empat suspek warga tempatan berusia antara 19 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira 4 pagi, Jumaat lepas sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap kereta Perodua Kelisa, dipercayai milik seorang daripada suspek.

“Pemeriksaan itu menemukan sembilan ketulan mampat disyaki ganja dan enam paket plastik lutsinar disyaki heroin yang disembunyikan dalam bahagian pintu belakang kiri dan kanan kenderaan itu.

“Dadah itu dipercayai untuk diedarkan bukan hanya di daerah ini tetapi juga di daerah berhampiran iaitu Pekan dan Kemaman, Terengganu serta boleh menampung permintaan 11,700 penagih,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata dua daripada suspek, seorang lelaki dan wanita juga mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah manakala ujian air kencing terhadap semua suspek adalah negatif.

Semua suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori, jika disabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Mohamad Noor berkata pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 37 tahun dalam satu operasi pada 13 Sept lepas bagi membantu siasatan 19 kes pecah masuk pejabat kerajaan dan sekolah selepas waktu tengah malam sekitar daerah ini sejak Julai lepas melibatkan kerugian lebih RM35,000.

Tiga daripada suspek yang dipercayai anggota ‘Geng Amir Kenji’ itu ditahan dalam sebuah kenderaan di Taman Tas di sini, manakala seorang lagi suspek disyaki pembeli barang curi tersebut ditahan di Indera Mahkota di sini.

Ketika pemeriksaan di dalam kenderaan, polis menemukan pelbagai barangan dipercayai hasil curi termasuk tujuh telefon bimbit.

“Pemeriksaan di rumah sewa seorang suspek di Taman Tas pula menemukan lebih banyak barangan disyaki dicuri iaitu komputer riba, cincin, dron, wang syiling dan jam tangan,“ katanya.

Mohamad Noor berkata semua suspek direman hingga esok, bagi membantu membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image