TAMPIN: Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun disyaki memiliki syabu seberat 55 gram di kebun kelapa sawit Felda Jelai 1, Gemas dekat sini pada 12.10 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tampin menahan suspek dipercayai sedang menunggu pembeli dadah berkenaan yang bernilai kira-kira RM6,050.
“Siasatan awal mendapati dadah itu untuk dijual sekitar kawasan Gemas dan Gemencheh. Saringan ujian air kencing suspek dikesan negatif dan lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.