JERTIH: Polis menahan dua pengasuh wanita kerana disyaki melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berusia tiga dan satu tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Kampung Raja di sini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata suspek masing-masing berusia 26 dan 50 tahun ditahan petang ini susulan satu laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada 7 petang semalam.

“Ibu kanak-kanak terbabit mengetahui kejadian tersebut selepas diberitahu dan ditunjukkan video oleh seseorang petang semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mempunyai satu kesan bengkak kecil di dahi manakala adik perempuannya berusia setahun terdapat satu kesan cubit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata kedua-dua suspek warga tempatan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman esok.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Abdul Rozak berkata siasatan awal mendapati taska berkenaan mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu, tular video berdurasi 0.25 saat di media sosial berhubung kes dera kanak-kanak di sebuah taska.