SEREMBAN: Polis menahan seorang suri rumah berusia 35 tahun kerana disyaki mendera anak angkatnya yang berusia 13 tahun di Kuala Klawang, Jelebu. Kejadian didakwa berlaku sejak tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Supt Azizan Said, berkata suspek ditahan pada 16 Jun selepas menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui e-mel Talian Kasih.
Mangsa, yang dijaga suspek sejak berusia enam tahun, dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
“Mangsa memberitahu didera apabila lambat atau lupa melaksanakan arahan selain sering dimaki, dijerit dan dipukul menggunakan objek seperti penyangkut baju,“ kata Azizan.
Kejadian terbaharu berlaku pada 14 Jun apabila mangsa dipukul dengan batang besi pembersih vakum hingga mengalami lebam di beberapa bahagian badan termasuk siku, pergelangan tangan, dan punggung ketika bersiap ke sekolah sempena hari sukan.
Pemeriksaan di Hospital Jelebu mengesahkan terdapat kesan kecederaan akibat objek tumpul berbentuk rod, dipercayai berlaku dalam tempoh tiga hari.
Suspek, yang mempunyai dua anak kandung berusia lima tahun dan tujuh bulan, dilepaskan dengan jaminan polis. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Polis masih menunggu laporan perubatan penuh bagi menentukan sama ada kecederaan mangsa berpunca daripada penderaan atau tingkah laku hiperaktif. - Bernama