MELAKA: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 31 hingga 55 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh Cawangan Risik Batalion ke-6 Pasukan Gerakan Am (PGA6) pada pukul 2 petang.

Beliau berkata ketika serbuan mereka sedang memindahkan minyak diesel dari sebuah lori ke dalam sebuah tangki besi.

“Hasil pemeriksaan menemukan 3,000 liter minyak diesel di dalam lori berkenaan selain 33,000 liter minyak diesel di dalam premis tersebut dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM165,000.

“Hasil risikan mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli minyak diesel bersubsidi daripada stesen minyak di negeri ini sebelum dijual kepada pemain industri dengan harga lebih tinggi,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, ketiga-tiga suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama