KOTA BHARU: Adakala tugas membawa mereka ke tasik yang dalam dengan suasana gelap gelita serta dasar pula berlumpur, berisiko “menyedut” mereka jika tidak berhati-hati.

Bergerak hanya berpandukan sentuhan dan isyarat tali yang mengikat mereka dengan daratan, sementara jarak penglihatan pula hampir sifar, cabaran yang didepani oleh penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), sebuah pasukan elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tidak mengizinkan sebarang kesilapan ketika mereka menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.

Di sesetengah negeri pula, pasukan ini berdepan dengan satu lagi cabaran, iaitu “Sang Bedal” yang terselindung di sebalik keruh air sungai.

Ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jan 2004, pasukan ini ditempatkan di setiap negeri bagi memenuhi keperluan operasi menyelamat di kawasan perairan seperti sungai, tasik, lombong, empangan dan juga kawasan banjir yang semakin meningkat saban tahun.

Di Kelantan, sebuah negeri yang sinonim dengan banjir ketika musim tengkujuh, PPDA ditempatkan di tiga lokasi, iaitu Pengkalan Chepa di sini, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Sungai deras, air pusar, buaya

Berkongsi kisah PPDA di negeri itu dengan Bernama, Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata cabaran terbesar mereka ialah apabila mangsa hilang di sungai memandangkan kebanyakan sungai di negeri tersebut berarus deras.

“Dalam keadaan sungai berarus deras, cabaran jadi berganda kerana apa sahaja yang terapung boleh dihanyutkan puluhan kilometer (km) jauhnya dari lokasi asal, dan jika kelajuan arus melebihi empat knot, kerja menyelam hampir mustahil,” ujarnya.

Mengambil contoh satu kejadian di Kuala Krai baru-baru ini, beliau berkata dua lelaki Orang Asli terjatuh ke dalam sungai dan mayat mereka hanya ditemukan selepas empat hari.

“Satu mayat ditemukan terapung sejauh 25 km dan satu lagi hampir 30 km,” katanya, menambah umumnya mayat individu lemas akan timbul dalam tempoh 48 jam, namun faktor suhu air, kedalaman serta kelajuan arus boleh melambatkan proses itu.

Pada masa sama katanya sungai di Kelantan juga berjeram dengan sesetengah kawasan mempunyai pusaran air, sekali gus meningkatkan risiko kepada pasukan penyelamat.

“Jika keadaan tidak mengizinkan penyelaman, PPDA akan beralih kepada strategi surfacing iaitu menunggu dan memantau kawasan yang berpotensi menjadi lokasi timbulnya jasad mangsa.

“Pemantauan ini bukan kerja singkat. Ia menuntut kesabaran, disiplin dan kekuatan emosi kerana setiap detik menunggu membawa harapan yang belum tentu kesudahannya,“ kata beliau.

Selain itu, beliau berkata ada lokasi-lokasi tertentu yang diketahui umum sebagai kawasan buaya, namun hal tersebut bukan alasan untuk menghentikan operasi.

“Biasanya, bila buaya dengar bunyi enjin bot, ia akan menjauh. Bunyi itu seolah-olah jadi satu isyarat untuk ia berundur ke kawasan lain, tapi kita tetap tidak boleh ambil mudah,” katanya.

Menurutnya, langkah berjaga-jaga sentiasa menjadi keutamaan, dan apa sahaja tanda bahaya, walau sekecil mana pun akan diambil kira sebelum anggota dibenarkan menyelam.

“Kami tidak akan benarkan sesiapa turun ke air jika risikonya di luar jangka. Ada prosedur ketat yang perlu diikut. Nyawa anggota tidak boleh digadai,” katanya.

Emosi

Selain berdepan cabaran fizikal, anggota pasukan ini juga diruntun dugaan emosi apabila diasak rayuan “tolong bawa anak aku balik” bersela tangisan.

“Setiap kali mereka turun ke dalam air, mereka tidak tahu apa yang akan ditemukan. Adakalanya mayat yang dicari itu sudah beberapa hari ditelan sungai dan hanya tinggal kaki, tangan atau cebisan pakaian. Walaupun jasad itu sudah hancur, reput dan sukar dikenali, mereka tetap akan membawanya naik ke darat, sebab jasad yang bersisa itu tetap anak seseorang yang ditunggu oleh kaum keluarga,” katanya.

Bau hanyir mayat menusuk hidung dan boleh memualkan sesiapa yang tidak biasa, adalah lumrah yang sudah bisa tegal biasa bagi pasukan ini walaupun adakala bau itu menyerap ke dalam pakaian mereka.

“Kadang-kadang operasi membawa mereka mengharungi air tercemar, berwarna hitam dan dipenuhi sampah, sisa toksik atau najis. Semua ini sudah menjadi asam garam kehidupan anggota PPDA.

“Lebih-lebih lagi tugas mereka bukan sekadar mencari mangsa lemas, tetapi turut membantu agensi lain seperti polis mencari bahan bukti yang tenggelam dalam air,” tambahnya.

Risiko kematian

Mereka mungkin bergelar pasukan elit, namun tidak bermakna mereka terhindar daripada risiko maut semasa bertugas.

Tragedi yang meragut enam nyawa rakan sepasukan pada 3 Okt 2018 masih menghantui kebanyakan anggota PPDA dan menjadi peringatan kepada mereka setiap kali turun ke kawasan operasi tentang betapa dekatnya mereka dengan maut.

“Penyelam bomba memang dilatih dalam setiap situasi termasuk waktu malam serta cara menangani sebarang kemungkinan. Namun, kadang-kadang ada isu luar jangka dan ketika ini bukan sahaja menuntut kemahiran teknikal tetapi juga kekuatan mental,” kata beliau.

Menurut Farhan Sufyan, sekalipun anggota PPDA berkemahiran menyelam dalam suasana gelap, mereka sebolehnya tidak akan melakukan selaman pada waktu malam.

“Kami bukan khuatir terhadap kegelapan malam tetapi bahaya yang tersembunyi seperti perubahan arus secara mengejut, benda terapung yang tidak kelihatan dan macam-macam lagi. Di waktu malam, kesilapan kecil boleh bertukar menjadi tragedi,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira tujuh tahun lalu di Puchong, Selangor itu, PPDA kehilangan enam anggotanya semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun yang terjatuh ke dalam lombong tinggal ketika memancing. Keenam-enam anggota terbabit yang saling terikat dengan tali, lemas selepas dipercayai terperangkap dalam pusaran air ketika melakukan pencarian pada 9 malam.

Insiden itu disifatkan yang terburuk dalam sejarah PPDA sejak penubuhannya.

Latihan yang ketat, penilaian berterusan

Sepertimana unit elit pasukan keselamatan lain, untuk menyertai PPDA bukan mudah. Anggota bomba terpilih perlu menjalani latihan asas yang direka khas bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar layak.

“Antara ujian yang perlu dijalani ialah terapung di permukaan air selama lima minit tanpa dibantu peralatan, terjun dari ketinggian 10 meter serta berenang sejauh 600 meter tanpa henti.

“Ujian ini hanya saringan awal untuk melihat siapa yang benar-benar layak. Hanya mereka yang melepasi tahap ini akan dipilih ke kursus intensif selama lima minggu di Akademi Bomba Wilayah Utara di Tronoh, Perak,” kongsi Farhan Sufyan.

“Juga perlu diingat, tidak semua yang melepasi ujian itu mempunyai kekuatan mental untuk membawa pulang mereka yang telah ‘pergi’,” ujarnya lagi.

Selain itu, setiap tahun anggota PPDA perlu menjalani penilaian semula bagi melihat aspek kompetensi dan kesihatan mereka.

“Kerja menyelam menuntut kekuatan fizikal dan mental, jadi setiap anggota perlu dipastikan berada di tahap 100 peratus cergas,” katanya.