PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) supaya menjalankan kajian mendalam membabitkan kawasan berisiko berlakunya insiden pokok tumbang di sepanjang laluan rel syarikat itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Prasarana juga perlu mengadakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi terbabit.

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa PBT dan terdapat juga kawasan-kawasan persendirian, jadi kita tidak boleh sesuka hati masuk ke kawasan tersebut.

“Namun, sebagai operator kita perlu lebih proaktif dan saya minta Prasarana supaya membuat satu siasatan (kajian) yang lebih terperinci dengan melihat kawasan-kawasan yang berisiko ini dan seterusnya berbincang dengan DBKL atau PBT yang terlibat mengenai perkara itu terutamanya di sepanjang jajaran yang melibatkan laluan monorel dan LRT,” katanya kepada media selepas Majlis Erat Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini.

Loke berkata monorel dan LRT merupakan sistem pengangkutan yang lebih berisiko untuk terdedah kepada insiden yang tidak diingini seperti pokok tumbang dan sebagainya, berikutan landasannya yang berada di tengah pusat bandar.

“Sebab kita punya sistem rel ini kebanyakannya rel bertingkat (above ground), kalau di bawah tanah itu tiada risiko begini, tapi monorel ini landasannya di tengah-tengah bandar raya.

“Memang penyelenggaraan pokok itu antara agenda utama...sebelum ini pun memang ada penyelenggaraan berkala tetapi dengan berlakunya kejadian-kejadian seperti ini kita perlu melipat gandakan tumpuan,” katanya

Selasa lepas, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.