KUALA LUMPUR: Program Anak Kita menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya melampaui sasaran awal yang ditetapkan dalam Program Pecutan SPM 2024. Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa laporan terkini daripada Yayasan Hasanah dan Unit Pantau MADANI turut menunjukkan kemajuan positif dalam intervensi Membaca, Menulis dan Mengira (3M).
Fadhlina berkata pihaknya berpuas hati dengan pencapaian program tersebut selepas hampir setahun dilaksanakan. “Tahun lalu, Kerajaan MADANI melancarkan Program Anak Kita bagi menangani isu keciciran pembelajaran, meningkatkan literasi dan numerasi, serta membantu persediaan murid menghadapi SPM,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Yayasan Hasanah, Unit Pantau MADANI, universiti awam, syarikat korporat, dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO). Fadhlina menekankan bahawa program ini dipantau secara menyeluruh merangkumi perancangan, pelaksanaan, dan impak keberkesanan.
Beliau turut berharap agar jangkauan Program Anak Kita dapat diperluas untuk memberi manfaat kepada lebih ramai murid di seluruh negara.