KOTA KINABALU: Kabinet Negeri Sabah meluluskan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) dan bersedia menerima permohonan daripada peserta mulai esok, 1 Julai.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata program Sabah-MM2H juga telah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dengan tempoh kelulusan sekitar lapan hingga 10 minggu.
Liew berkata program MM2H Sabah hanya terpakai di Sabah dan pemohon tidak dibenarkan menggunakan permit dalam program ini untuk bekerja di Malaysia.
“Rumah mampu milik tidak dibenarkan dalam program ini. Tiada warga asing (akan) membeli unit (rumah) mampu milik atau memohonnya di bawah program ini. Rumah mampu milik untuk rakyat tempatan Sabah bukan untuk warga asing membeli atau melabur untuk menyertai program tersebut (Sabah-MM2H).
“Kami juga akan memastikan tiada penyewaan permit ini. Satu jawatankuasa akan memantau perkara ini,“ katanya dalam sidang media selepas melancarkan program itu di sini hari ini.
Liew berkata syarat untuk program itu termasuk pemohon mestilah berumur sekurang-kurangnya 30 tahun, dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, memenuhi keperluan simpanan tetap dan kewangan, dan hanya dibenarkan membeli hartanah bertingkat bernilai sekurang-kurangnya RM600,000 .
Terdahulu dalam ucapannya, Liew berkata program Sabah-MM2H bukan sahaja kaedah untuk menarik individu menjadikan Sabah sebagai rumah kedua mereka tetapi juga sebagai pemangkin pertukaran budaya, daya hidup ekonomi dan pembangunan mampan dalam masyarakat.
Beliau berkata peserta antara lain.akan berpeluang memiliki hartanah di Sabah, akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan pilihan untuk mendaftarkan anak-anak mereka di institusi pendidikan terkemuka.
“Peserta Sabah-MM2H dialu-alukan dan digalakkan untuk menyelami kekayaan budaya kami, menyumbang kepada ekonomi tempatan, menjalin hubungan yang berkekalan dengan komuniti penduduk dan rakan ekspatriat kami,“ tambah Liew.