Your Title

NIBONG TEBAL: Pembinaan jalan menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke laluan Persekutuan FT1 di sini, bakal menyelesaikan permasalahan dihadapi penduduk terutama membabitkan isu keselamatan, sekali gus memberikan limpahan pembangunan di kawasan sekitar yang menguntungkan rakyat Sungai Bakap.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek yang menelan kos RM11.26 juta membabitkan laluan sepanjang 1.2 kilometer itu, telah bermula sejak 2022 dan kini mencapai kemajuan 74.65 peratus, mendahului jadual 45 hari dan dijangka siap sepenuhnya Februari tahun depan.

“Projek ini menghubungkan Kawasan Perindustrian Bukit Panchor, Nibong Tebal dengan Jalan Negeri P146-Jalan Bukit Panchor. Ketika ini, kenderaan terpaksa melalui taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian bagi urusan perdagangan dan ia mengganggu kehidupan masyarakat, kerana kenderaan berat daripada perindustrian melalui taman perumahan.

“Oleh itu ia menimbulkan isu keselamatan penduduk di sekitar kawasan terbabit, kerana laluan sedia ada sempit dan di kawasan taman,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi melihat kemajuan projek jalan itu di sini hari ini.

Beliau berkata apabila siap, jalan tersebut berupaya menampung sehingga 1,000 kenderaan sehari dan menghubungkan kawasan Sungai Kechil, Sungai Bakap, Taman Ilmu dan Universiti Sains Malaysia (USM) Transkrian ke pekan Nibong Tebal.

Ahmad berkata projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Kerja Raya sebagai agensi pelaksana itu, dilaksanakan menerusi tender terbuka dengan skop kerja antaranya melibatkan pembinaan persimpangan baharu dan menaik taraf persimpangan sedia ada, serta membina saliran.

Beliau berkata projek berkenaan turut menelan kos tambahan sebanyak RM5 juta, bagi tujuan pengambilan lebih lima lot tanah estet bagi tujuan pembinaan jalan itu, sekali gus menjadikan kos keseluruhan adalah RM16.26 juta.

“Saya difahamkan kawasan ini akan membangun dengan hebat selepas jalan dibina ini siap kelak, kerana ada pembangunan yang dirancang di sini. Kemungkinan kita tak akan nampak lagi estet seperti hari ini, tapi kita akan nampak kilang-kilang.

“Ini teori pembangunan zaman berzaman, ada jalan maka akan ada pembangunan. Selepas ini kawasan (estet) ini akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian, sekali gus menguntungkan rakyat sekeliling terutama Sungai Bakap,” katanya.