SHAH ALAM: Kerja-kerja pengukuran dan pemetaan sempadan bagi Selangor dan Kuala Lumpur telah selesai dilaksanakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) pada 31 Okt tahun lepas, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata secara keseluruhan, pengukuran dan pemetaan sempadan itu mempunyai kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 kilometer (km).
“Pada ketika ini, kita sedang menentukan dan menetapkan kawasan bermasalah (OBP) bagi menyelesaikan nilai-nilai atau jumlah (kawasan) ditetapkan (dalam perbincangan) pada 5 Mac 2020.
“Kita telah menandakan OBP supaya kita boleh melihat kawasan terbabit untuk ditentukan sempadan,” katanya menjawab pertanyaan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) berhubung perkembangan proses persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor sentiasa mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama PTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JUPEM untuk memuktamadkan perbincangan berhubung persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah dilakukan sebelum ini dengan mesyuarat seterusnya akan berlangsung pada 11 Mac nanti.
“Kita sangat optimis dapat selesaikan isu sempadan walaupun kawasan sempadan antara Kuala Lumpur dengan Selangor sedikit rumit berbanding pengalaman kita selesaikan ukuran dengan Negeri Sembilan dan Pahang,“ katanya.
Amirudin berkata isu itu timbul disebabkan kedudukan sempadan yang sebahagiannya melibatkan premis, jalan dan longkang.
“Beberapa garis sempadan yang ditetapkan pada 1970-an tidak diukur dan akibatnya ada beberapa premis telah dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ada juga kawasan yang dibangunkan oleh PBT Selangor, tetapi dalam ukuran sekarang, ia termasuk di dalam kawasan sempadan Kuala Lumpur,” katanya.
Susulan itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara itu sebelum satu perjanjian ditandatangani antara beliau selaku Menteri Besar Selangor dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa untuk memuktamadkan garis sempadan sekali gus mengesahkan kedaulatan tanah serta wilayah Selangor supaya dapat dibangunakan dengan lebih baik.
Pada 27 Nov 2024, Amirudin dilaporkan berkata persempadanan kawasan antara Selangor dengan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menuntut kembali Kuala Lumpur antaranya untuk dijadikan daerah, sebagai menghormati perjanjian penyerahan wilayah itu kepada kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 1974.