• 2025-09-20 07:37 PM

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan program Skim Strata Bebas Kenderaan Usang bagi menangani isu lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan strata.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan program ini dilaksanakan melalui kerjasama bersepadu antara kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta untuk mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah yang semakin meruncing ini.

Beliau menjelaskan kenderaan usang yang ditinggalkan lama di perumahan bertingkat bukan sahaja menyebabkan kekurangan ruang parkir dan ketegangan antara penduduk, malah berpotensi menjadi sarang pembiakan aedes serta digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Pihak berkuasa tempatan selama ini menghadapi kekangan dalam melupuskan kenderaan tersebut kerana terikat dengan prosedur undang-undang, kos tinggi dan masa yang lama,“ katanya semasa pelancaran program di Flat Turnkey Sri Pinang.

Loke menambah inisiatif kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang ini mampu menjadi penyelesaian terbaik dengan menyediakan mekanisme efektif mengatasi masalah lambakan kenderaan usang.

Bagi memastikan keberkesanan program, kementerian telah memperkenalkan sistem e-Deregistration atau e-Dereg sebagai platform digital yang membolehkan pemilik membuat pembatalan kenderaan secara dalam talian.

“Sistem e-Dereg ini memudahkan pemilik melupuskan kenderaan mereka dengan proses pembatalan yang mengambil masa kurang lima minit tanpa perlu beratur di pejabat JPJ,“ jelas Loke.

Skim ini turut mendapat kerjasama syarikat rawatan automotif berlesen CarMedic yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk menguruskan proses pelupusan secara teratur dan mesra alam.

Inisiatif ini memberikan manfaat kepada semua pihak dimana pemilik tidak perlu menanggung kos malah menerima bayaran berdasarkan nilai kenderaan, manakala pihak berkuasa tempatan dapat mengurangkan beban operasi.

Loke berharap usaha Pulau Pinang ini dapat dijadikan contoh dan diperluaskan ke negeri lain bagi menyelesaikan masalah kenderaan usang serta mewujudkan persekitaran lebih bersih, selesa dan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye menjadi pemilik pertama menggunakan kemudahan e-Dereg dengan menyerahkan kenderaannya untuk dilupuskan secara rasmi. – Bernama