KUALA LUMPUR: Kebanyakan kes penipuan kewangan dalam talian di Malaysia berpunca daripada transaksi yang dilakukan secara sukarela oleh mangsa sendiri, hasil manipulasi psikologi dan emosi oleh penjenayah siber, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Pengurus Pejabat Wilayah BNM Kuala Lumpur, Vijayadurai Singgatore, berkata penjenayah kini semakin canggih dalam memanipulasi mangsa, termasuk menggunakan taktik menakutkan atau memperdaya melalui sindiket cinta palsu.
“Ada yang mendakwa menjadi mangsa dalam kes dadah dan langgar lari malah ada juga kes penipu menyamar sebagai individu yang ingin menjalinkan hubungan cinta dengan mangsa,” katanya dalam program POV: Perspektif Bukan Persepsi Bersama Kamal Affandi Hashim terbitan Bernama Radio.
Beliau menjelaskan bahawa taktik sebegini menyebabkan mangsa membuat transaksi secara sukarela tanpa menyedari mereka sedang diperdaya.
Selain itu, penjenayah turut menggunakan teknologi seperti spoofing atau kecerdasan buatan untuk meniru suara mangsa dan mengakses aplikasi dalam telefon pintar.
Vijayadurai menyarankan orang ramai mengamalkan pendekatan 3S: soal kesahihan maklumat, sekat diri daripada mengikuti arahan mencurigakan, dan sebar maklumat yang betul kepada rakan serta keluarga.
BNM kini bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta industri perbankan dan telekomunikasi menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi menangani kes penipuan.
Mangsa dinasihatkan melaporkan segera kepada NSRC di talian 997 dan membuat laporan polis untuk memudahkan tindakan pemulihan.
“Duit yang diambil scammer biasanya melalui akaun keldai milik pihak ketiga dan digunakan untuk tujuan haram. Peluang untuk mendapatkan semula wang bergantung pada kelajuan mangsa membuat laporan,” jelasnya.