• 2024-01-01 10:20 AM

BATU GAJAH: Sasaran kerajaan negeri menarik lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa dengan pulangan RM10 bilion mampu dicapai, sekiranya seluruh rakyat Perak berperanan sebagai ‘duta’ pelancongan dengan sama-sama mempromosi Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata masyarakat berbilang kaum di Perak mampu memainkan peranan, dengan menceritakan kehebatan dan keindahan setiap penjuru bumi negeri itu untuk ditawarkan kepada pelancong.

Beliau berkata perkara itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk menggunakan platform media sosial bagi menonjol serta menceritakan tentang keunikan tempat menarik di Perak.

“Kita semua merupakan duta negeri, yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung dengan mempromosikan sejarah, budaya dan keunikan yang ada di sini, malah kitalah jurucakapnya.

“Gunakan segala platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baharu Peringkat Negeri Perak 2024, di Silverlakes Village Outlet (SVO) Batu Gajah dekat sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Perak menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong dari luar negara berkunjung negeri itu sempena TMP 2024, dengan menyenaraikan 120 acara dalam kalendar pelancongan Perak bagi memeriahkannya.

Sementara itu, Saarani berkata sehebat mana perancangan dan sebanyak mana peruntukan dibelanjakan, namun ia tidak akan memadai tanpa kerjasama daripada seluruh rakyat Perak.

“Berilah layanan yang baik, sopan santun, berbudi bahasa dan menghulurkan bantuan kepada pelancong yang memerlukan, selain menjaga imej dan persepsi baik para pelancong terhadap kita.

“Orang Ipoh boleh bercerita mengenai keunikan bandaraya Ipoh, orang Hulu Perak boleh bercerita mengenai keindahan Royal Belum, Pulau Banding, malah orang Lumut boleh bercerita mengenai keindahan Pulau Pangkor. Pendek kata semua pihak boleh main peranan untuk pastikan TMP 2024 berjaya,” katanya.

Saarani berkata rakyat juga perlu sentiasa menjaga keamanan dan kebersihan negeri, kerana aspek itu sentiasa meninggalkan kesan positif kepada pelancong dan akan menjadi penceritaan mereka, selain menentukan imej negara.

“Kita tak boleh halang jika pelancong mahu ke negeri lain, tetapi kita boleh bekerja keras menawarkan keseronokan, keunikan dan kepuasan kepada pelancong, supaya Perak sentiasa menjadi pilihan utama mereka,” katanya.–Bernama