SHAH ALAM: Calon Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan menafikan dakwaan terlibat dengan sebarang salah laku susulan satu video tular memaparkan beliau memberikan wang kepada individu lain di hadapan sebuah premis.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata video berkenaan adalah rakaman lama dan merupakan fitnah jahat yang sengaja ditimbulkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab menjelang musim pemilihan parti berkenaan bagi penggal 2025-2028.

“Itu adalah selepas Pilihan Raya Negeri Selangor selesai, kedudukan tempat di mana saya memberi duit kepada pekerja saya sendiri, di luar pusat khidmat saya. Kalau kita lihat pintu itu ada besar-besar logo Pakatan Harapan, apa yang salah?

“Kalau kita sanggup buat politik kotor macam ni, ia sangat teruk, ini adalah fitnah...saya harap mereka yang tidak bertanggungjawab ini belajar,“ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan Tekun Nasional di sini hari ini.

Sebelum ini, tular klip rakaman berdurasi 34 saat memaparkan Ramanan memberikan wang kepada individu lain di hadapan sebuah premis sebelum beredar.

Mengulas mengenai pemilihan kali ini, Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR berkata setiap calon bertanding perlu berkempen secara tertib tanpa menghina atau mengutuk individu lain dengan perhatian perlu diberikan kepada akar umbi.

“Ini adalah pemilihan parti, bukan pilihan raya. Kita kena betul-betul sentuh akar umbi, pergi berjumpa mereka tidak kira secara peribadi atau di mana-mana, kita kena tanya apa rintihan, kesusahan dan apa yang diharapkan daripada kita,“ katanya.

Pada masa sama, Ramanan menjelaskan kenyataan dibuatnya sebelum ini berhubung PKR mampu memenangi hingga 80 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 jika calon Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar memenangi pemilihan kali ini, yang telah disalah tafsir dan menerima kritikan sesetengah pihak.

Beliau berkata jumlah disebutkan itu adalah sasaran optimis, berdasarkan rekod pencapaian Nurul Izzah yang berjaya mengemudi parti pada PRU14 dan berjaya mendapatkan 50 kerusi untuk PKR.

“Ia adalah harapan, adakah salah untuk kita ada harapan?” katanya.

Pemilihan PKR menyaksikan pertembungan antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam merebut jawatan Timbalan Presiden manakala Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa pencabar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan pemilihan pimpinan pusat pada 23 Mei.