PUTRAJAYA: Tempoh pemprosesan skrip filem antarabangsa telah dipendekkan daripada 30 hari kepada tujuh hari sebagai sebahagian daripada usaha reformasi birokrasi Kementerian Komunikasi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pencapaian ini sebagai langkah penting dalam menarik lebih banyak produksi antarabangsa ke Malaysia.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata penambahbaikan ini amat bermakna bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Ia memudahkan syarikat penggambaran asing untuk menjalankan kerja lebih pantas tanpa perlu menunggu lama untuk kelulusan skrip.
“Selain FINAS, agensi seperti PUSPAL juga telah mempermudah proses permohonan penggambaran dan konsert antarabangsa menerusi pelancaran Garis Panduan PUSPAL 6.0 pada April lalu,“ jelasnya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Beliau menambah bahawa reformasi birokrasi akan diperluas ke agensi lain di bawah kementerian, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kementerian Komunikasi antara tiga kementerian yang menerima penghargaan khas atas kejayaan melaksanakan reformasi birokrasi.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan bahawa langkah ini menjimatkan kos beban peraturan sehingga RM2.4 juta bagi setiap produksi, sekaligus mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi penggambaran pilihan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menerima sijil penghargaan tersebut dalam satu majlis di Putrajaya pada Selasa lalu.