KUALA LUMPUR: Remaja lelaki Bangladesh yang dihantar pulang oleh Kerajaan Malaysia selepas ditemukan di dalam sebuah kontena di dermaga Westport, Pelabuhan Klang pada 17 Jan dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Monoharganj, bandar Comilla, Bangladesh, semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi catatan di akaun Facebooknya memaklumkan MD Ratul Islam Fahim, 16 ditemukan meninggal dunia akibat lemas ketika mandi berseorangan di sebuah kolam berhampiran rumahnya.

“Menerima berita sedih, kanak-kanak dari Bangladesh yang pernah kita selamatkan dulu sewaktu terperangkap dalam kontena di Pelabuhan Klang telah menemui Pencipta.

“Moga roh Allahyarham Md Ratul Islam Fahim dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga bersama orang beriman, insha-Allah,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga remaja berkenaan.

Pada 21 Feb lepas, kerajaan menghantar pulang remaja berusia 16 tahun itu ke negara asalnya selepas terperangkap selama enam hari di dalam kontena.

Remaja berkenaan sebelum itu dilaporkan bermain dalam kontena berkenaan di Chittagong, Bangladesh dengan rakannya sebelum menyedari dirinya terkunci di dalam kontena itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image