Your Title

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.

Beliau berkata pada masa ini, beberapa siri bengkel cadangan dasar penubuhan ombudsman telah diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

“Sebenarnya hasratnya adalah dibawa rang undang-undang ini pada sesi ini tetapi libat urus itu tidak cukup masa, maka kemungkinan besar ia akan dibawa ke Parlimen sekurang-kurangnya tahun depan pada Februari atau Mac,“ katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran berkata sesi libat urus holistik merangkumi perbincangan kumpulan berfokus dengan agensi-agensi kerajaan negeri telah selesai bagi zon Sabah dan Utara melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Beliau berkata sesi itu akan diteruskan di peringkat zon Sarawak, Timur, Selatan dan Tengah sebelum dimuktamadkan di peringkat agensi Pusat menjelang suku pertama 2025.

Pada 12 Jun lepas, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya sesi libat urus holistik dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti serta agensi penguat kuasa dalam tempoh tiga bulan bagi menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaan Ombudsman Malaysia.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Ombudsman Malaysia dicadangkan untuk berfungsi menerima, mengendali dan menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam Persekutuan bagi meningkatkan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.