KLANG: Sektor agromakanan mencatat sumbangan sebanyak RM45.5 bilion atau 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pencapaian ini menunjukkan peranan penting sektor tersebut dalam ekonomi negara.
Daripada jumlah tersebut, subsektor perkhidmatan makanan menyumbang paling besar iaitu RM22.1 bilion, diikuti oleh subsektor tanaman, ternakan, dan perikanan (RM13.9 bilion) serta makanan dan minuman (RM9.7 bilion).
“Sektor agromakanan bukan sekadar soal ekonomi, tetapi juga melibatkan kelangsungan hidup dan masa depan negara,“ jelas Mohamad dalam ucapannya di Seminar Pengembangan Agromakanan 2025.
Namun, beliau mengakui Malaysia masih ketinggalan dalam kadar sara diri (SSR) pengeluaran beras berbanding Indonesia. SSR negara hanya sekitar 65 peratus berbanding keupayaan Indonesia yang mampu memenuhi permintaan domestik dan eksport. Salah satu faktor utama ialah kehilangan 20,000 hektar sawah padi akibat perubahan guna tanah untuk pembangunan.
Untuk menangani isu ini, kerajaan mempergiatkan usaha penanaman semula di kawasan terbiar seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, dan Sabah.
“Dengan pemodenan, kita mampu meningkatkan hasil sehingga tujuh tan metrik per hektar, tetapi purata sekarang hanya empat hingga lima tan,“ ujar Mohamad.
Isu penuaan petani juga menjadi cabaran besar. Banci Pertanian 2024 menunjukkan hampir separuh petani berusia 60 tahun ke atas.
Walaupun minat golongan muda dalam pertanian padi semakin meningkat, terutama dengan penggunaan teknologi seperti dron, usaha lebih diperlukan untuk menarik lebih ramai generasi baharu. - Bernama