SUBANG JAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio tiba di Malaysia pada Khamis bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Ini merupakan lawatan pertama Rubio ke Asia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara awal tahun ini.
Delegasi AS mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang Jaya pada jam 7.39 pagi.
Mereka disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman, Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan, dan Kuasa Usaha di Misi AS ke ASEAN Kate Rebholz.
Menurut Jabatan Negara AS, Rubio akan menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Forum Serantau ASEAN (ARF).
Beliau juga dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia sepanjang lawatan ini.
Semua Menteri Luar ASEAN hadir kecuali Myanmar, yang diwakili oleh pegawai kanan. Timor-Leste pula hadir sebagai pemerhati.
Forum ARF menghimpunkan negara anggota ASEAN serta rakan dialog seperti AS, China, Rusia, dan Kesatuan Eropah.
Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN buat kali kelima, selepas mempengerusikan pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. Hubungan AS-ASEAN bermula pada 1977 dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022. - Bernama