KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dikenali sindiket Aun dari Myanmar, dengan penahanan 46 rakyat negara itu melalui dua operasi malam semalam dan awal pagi ini.

Ketua Penolong Pengarah D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata 31 warga Myanmar ditahan dalam serbuan pertama di sebuah flat di Mantin, Negeri Sembilan, pukul 11 malam semalam.

Beliau berkata 15 lagi warga Myanmar ditahan dalam serbuan pukul 5 pagi tadi di sebuah rumah teres di Meru, Klang, Selangor.

“Polis mendapati enam daripada 46 orang suspek termasuk seorang wanita, berperanan sebagai penjaga rumah transit, ejen penyedia rumah dan pengangkutan.

“Keenam-enam suspek berusia 30 hingga 43 tahun ini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Soffian berkata selebihnya yang ditahan ialah 25 lelaki dan 15 wanita berusia 22 hingga 40 tahun.

Sindiket Aun dipercayai menyeludup masuk pendatang tanpa izin melalui jalan darat yang tidak diwartakan (Myanmar-Thailand-Malaysia) atau jalan tikus.

“Rumah flat di Mantin dan rumah teres di Meru dipercayai dijadikan tempat menyembunyikan pendatang selepas menyusup masuk secara haram. Kediaman itu disewa dengan bayaran RM500 sebagai rumah penampungan,” katanya.

Beliau berkata semua warga asing yang ditahan telah membayar RM4,000 kepada ejen di Myanmar untuk proses memasuki negara ini dan setelah tiba, mereka dikehendaki membayar RM850 lagi kepada ejen warga Myanmar untuk penginapan dan perlindungan, sementara menunggu mendapat pekerjaan.