KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri memberi jaminan bahawa segala bentuk sokongan psikososial, kaunseling serta bantuan sewajarnya akan segera disalurkan kepada keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, awal pagi tadi.

Beliau berkata pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan digerakkan bagi membantu keluarga pelajar terbabit khususnya dalam pengurusan emosi serta kebajikan mereka.

“Kemalangan tragis ini yang meragut 15 nyawa, benar-benar menyentuh hati kita semua. Mereka adalah anak-anak muda, pewaris masa depan negara, yang dalam perjalanan kembali ke kampus dengan niat menyambung pengajian selepas cuti Aidiladha. Namun takdir Allah mengatasi segalanya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Nancy berkata kementeriannya komited untuk sentiasa bersama rakyat dalam menghadapi detik-detik sukar seperti ini kerana setiap insan amat berharga buat negara.

“Saya mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada’ dan orang yang beriman. Bagi yang masih dirawat, saya doakan agar mereka diberi kesembuhan segera.

“Semoga seluruh keluarga yang terkesan oleh tragedi ini diberikan ketabahan, kecekalan dan kekuatan luar biasa dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya yang turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi berkenaan.

Media melaporkan 15 individu maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan lain di KM53, JRTB, berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.