• 2025-09-07 12:39 PM

KUALA PILAH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan perkembangan terkini beberapa kes berprofil tinggi termasuk siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan makluman itu turut melibatkan siasatan terhadap pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II).

Beliau berkata pihaknya akan memperincikan kes berkaitan siasatan Op Sikaro dan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas Sapura Energy Berhad serta beberapa kes lain yang disiasat sejak tahun lepas.

Bagi Op Sikaro, siasatan masih dijalankan dengan pegawai SPRM sedang menganalisis beratus-ratus akaun yang mencatatkan wang banyak diperoleh hasil aktiviti haram.

Azam Baki menyatakan siasatan berkaitan isu DBKL telah selesai dan kes telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan cadangan pendakwaan.

“Saya harap kes DBKL dapat dituduh selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Malaysia atau awal minggu pertama Oktober,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Raya Kampung Terentang bersempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di sini hari ini.

SPRM telah menahan tiga individu dalam kes DBKL bulan lepas termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam yang disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014.

Azam Baki menekankan pihaknya berusaha menyelesaikan semua kes siasatan berprofil tinggi dengan segera bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat.

Beliau menjelaskan kebanyakan siasatan telah dipercepatkan termasuk penyediaan kertas siasatan dengan banyak kes sudah dikenakan tindakan punitif.

Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan program Keluarga Malaysia semasa pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022. – Bernama