SEREMBAN: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima bayaran bagi urusan haji tanpa lesen pengelola haji yang sah. Mhd Lihan Sabari, 60, dan Noor Nisrin Mahlim, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mereka didakwa menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada seorang wanita bagi urusan mengelolakan perjalanan haji tanpa lesen yang sah pada 4 hingga 7 April lepas di sebuah bank di Mantin. Kesalahan ini dibawah Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1955 yang membawa hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat menyerahkan pasport. Peguam Mohd Razak Sharif memohon jaminan lebih rendah atas alasan kliennya bergantung pada pendapatan sebagai pekebun sawit.
Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri bulanan di balai polis Yong Peng. Kes ini akan disebut semula pada 11 Ogos untuk serahan dokumen. - BERNAMA