KAMPOT: Gugup dan lega, itu antara perasaan seorang sukarelawan Bank Rakyat ketika kali pertama melaksanakan sendiri ibadah korban sempena Aidilhadha menerusi program Kembara Qurban Kemboja 2025 di Kampung Keh di sini.
Muhammad Haziq Mohamad Fahmi, 21, bagaimanapun berkata perasaan gugup itu dapat diatasi hasil tunjuk ajar petugas Yayasan As-Shafiee mengenai cara dan teknik betul penyembelihan lembu.
Pelajar lepasan Diploma Sains Komputer Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu melaksanakan ibadah korban bagi mewakili pendeposit Akaun Simpanan i-Qurban Bank Rakyat dan keluarganya.
“Saya rasa seronok dapat pengalaman ini, ia peluang yang istimewa untuk saya mempraktikkan ibadah ini sendiri, di samping menyumbang kepada komuniti Islam di Kemboja,“ katanya kepada Bernama.
Berbeza dengan seorang lagi sukarelawan, Aswadi Kamardin, 49, kelihatan lincah mengendalikan urusan penyembelihan berikutan kekerapannya terlibat aktiviti itu di kawasan perumahannya ketika Aidiladha.
Aswadi berkata suasana ibadah korban di Kemboja begitu meriah dengan penglibatan komuniti yang bersama-sama menyumbang tenaga.
“Jika di Malaysia program sembelihan ketika Aidiladha banyak disertai orang masjid, tetapi di sini ramai penduduk hadir dan berebut menyumbangkan tenaga daripada proses menumbangkan hingga melapah,“ katanya.
Muhammad Haziq dan Aswadi antara 21 individu terlibat dalam program berkenaan yang bertujuan menyantuni masyarakat pedalaman di Kemboja bagi menyempurnakan ibadah korban dan mengagihkan bantuan kepada komuniti Islam di negara itu.
Terdahulu, delegasi sukarelawan Bank Rakyat bersama penduduk tempatan mengorbankan 10 ekor lembu di Kampung Trapenh Pinh dan 36 lagi di Kampung Keh.
Usai aktiviti korban di kedua-dua kampung itu, sukarelawan dengan bantuan penduduk tempatan mengagihkan lebih 3,500 kilogram daging kepada komuniti Islam di beberapa kampung di Kampot antaranya Kampung Samraong, Kampung Triek, Kampung Kandal dan Kampung Prey Thnong.