TEMERLOH: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa yang terlibat dalam bencana ribut di sini pada 9 Jun lepas.

Sumbangan turut disampaikan Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan, yang berlaku selepas tiga hari umat Islam menyambut Aidiladha.

“Sudah tentu kesedihan ini amat dirasai kerana kita tidak sempat menyambut Aidiladha dalam keadaan sempurna, namun ini semua kehendak Allah SWT. Setiap musibah itu pasti ada hikmahnya, kita cuma perlu bersabar,” titah baginda selepas menyantuni penduduk terjejas di Dewan Orang Ramai, Kampung Paya Luas di sini hari ini.

Pada 9 Jun, sebanyak 210 rumah mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut di empat mukim di Temerloh meliputi Mukim Perak 2, Mukim Bangau, Mukim Mentakab 1 dan 2.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap agar kerajaan Pahang segera menyalurkan baki bantuan Tabung Malapetaka Daerah (TMD) kepada penduduk terjejas.

“Saya dimaklumkan tadi bahawa RM300 bantuan (TMD) sudah disalurkan dan masih ada baki RM700. Saya harap ini boleh disalurkan secepat mungkin... kerajaan negeri juga ada menyediakan bantuan RM5,000 untuk membaiki rumah yang rosak dan saya harap ini juga dapat dipercepat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua remaja perempuan yang terlibat dalam kemalangan maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Tengku Ismail di sini pada 11 Jun lepas.

Selain itu, Sultan Pahang turut mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak mengikuti mana-mana ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang.

“Saya dapat laporan yang menyatakan ada orang mengikuti ajaran yang salah, iaitu ajaran Ahmadiah. Ajaran ini sudah difatwakan haram, kenapa masih ada tiga hingga empat orang yang mahu mengembangkan ajaran ini?.

“Kita semua perlu ikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pegangan ini diwarisi sejak daripada nenek, ibu dan ayah kita, dan ia juga merupakan pegangan majoriti rakyat negara kita,” titah baginda.