KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman kepada 104 individu di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Pengurniaan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendahului senarai penerima dengan dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang membawa gelaran Datuk.

Turut dianugerahkan DSMZ ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan kepada 25 individu Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati.

Antara penerima DPMT ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Rosli Latif.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SMZ) Yang Amat Terpilih kepada 21 penerima, Setia Mahkota Terengganu (SMT) Yang Amat Dihormati (14 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) Yang Amat Terpilih (13 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) Yang Amat Dihormati (27 penerima).