SEREMBAN: Sebuah syarikat stesen minyak dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membenarkan penjualan diesel kepada sebuah lori berjumlah 6,562 liter iaitu melebihi had dibenarkan, tahun lepas.
Syarikat tersebut yang diwakili dua pengarahnya Lim Kok Ban, 63, dan Othman Mohamad Supian, 59, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, syarikat Lestari Kasturi Sdn Bhd bersama kedua-dua OKS sebagai pemegang lesen runcit membenarkan penjualan diesel kepada kenderaan lori iaitu barang berjadual minyak diesel sebanyak 6,562 liter pada kira-kira 7 petang di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai, 21 Ogos 2023.
Oleh itu, syarikat dan OKS terbabit gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan Malaysia iaitu stesen minyak di seluruh negara dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih 250 liter dengan sekali transaksi sehari ke dalam tangki asal kenderaan.
Syarikat itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.
Dua OKS itu pula didakwa di bawah peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 22(4) AKB 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Alimah Mohd Sanusi memohon mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap OKS dengan penjamin warganegara.
Bagaimanapun, peguam mewakili kedua-dua OKS, Rosmira Embong memohon jaminan RM5,000 bagi setiap OKS atas alasan kedua-duanya menanggung keluarga selain mereka turut mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap OKS dengan seorang penjamin warganegara dan sebutan semula ditetapkan pada 6 Feb depan.
Sementara itu, di mahkamah sama, sebuah syarikat yang mengusahakan restoran mamak dan pekerjanya warga Bangladesh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan barang kawalan minyak masak 1,241 kilogram di premis yang tidak dilesenkan oleh Pengawal Bekalan, April lepas.
Mengikut pertuduhan, syarikat Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd yang diwakili pengurus operasinya Mohd Arman Omar, 45, dan Das Jhonny Chadra, 33, selaku OKS melakukan perbuatan tersebut di hostel pekerja restoran itu di sini pada 3.15 petang, 26 April lepas, mengikut Seksyen 20(1) AKB 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) dan Seksyen 22(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Khairul Azman Rosli manakala syarikat dan OKS diwakili peguam Ashok Athimulan.
Mohamad Kamil kemudian menawarkan jaminan RM15,000 terhadap Das Jhonny dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat KPDN Seremban setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 13 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula dan kehadiran pengarah syarikat.