PUTRAJAYA: Sebanyak 59,860 panggilan termasuk cubaan bunuh diri direkodkan menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 bagi tempoh 2022 hingga semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini beliau berkata sebanyak 59 peratus atau 35,590 panggilan yang direkodkan itu memerlukan sokongan segera dari segi bantuan emosi.

“Tingkah laku yang cenderung kepada aspek ingin membunuh diri ini adalah sebanyak 336 kes daripada 59,860 panggilan tersebut.

“... daripada tingkah laku yang ada kecenderungan itu kita dapati idea untuk bunuh diri ini ada 198 kes, dia memang menghitung-hitung (untuk membunuh diri),” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini memandang serius isu masalah kesihatan mental termasuk di tempat kerja dan akan melaksanakan langkah intervensi berkaitan.

Setakat ini beliau berkata, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) telah ditubuhkan untuk menyelaras program dan perkhidmatan kesihatan mental secara rentas kementerian di peringkat kebangsaan.

“Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan 15 peratus individu bekerja mengalami masalah kesihatan mental,” katanya.

Selain itu, Dzulkefly berkata KKM turut bersama Kementerian Sumber Manusia telah membangunkan modul Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA) untuk melatih pekerja industri dalam aspek penjagaan kesihatan mental kendiri dan bantuan awal psikologi di tempat kerja.

“KKM juga membangunkan program Komuniti Minda Sejahtera atau singkatannya K-MindSet untuk memperkasakan masyarakat tentang kesihatan mental,” katanya.