GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan kononnya terdapat pembinaan sebuah pangsapuri 69 tingkat dan hotel di atas tanah rizab milik kerajaan negeri di bawah projek Gurney Bay di Persiaran Gurney di sini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata kerajaan negeri tetap dengan prinsip tiada tanah yang akan diberikan kepada mana-mana pihak di bawah komponen Gurney Bay yang dibangunkan secara berfasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pembangunan projek pangsapuri dan hotel itu melibatkan tanah berhampiran Gurney Bay dan bukan komponen di bawahnya yang dikhususkan sebagai taman rekreaksi awam berkeluasan kira-kira 41 hektar.

“Projek pembangunan bercampur hotel dan apartmen itu akan dilaksanakan oleh pihak pemaju yang telah memperoleh tanah terbabit secara pemberimilikan daripada kerajaan negeri, ia adalah sebagai tanah ganti untuk projek infrastruktur dan lebuh raya yang sedang giat dilaksanakan,“ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran yang tular melalui media sosial mendakwa tanah di Gurney Bay yang merupakan kawasan Taman Rekreasi Awam milik kerajaan negeri diserahkan kepada pemaju bagi tujuan pembinaan hotel dan kediaman setinggi 69 tingkat.

Sehubungan dengan itu, H’ng memberitahu kerajaan negeri memantau rapi pelaksanaan projek Gurney Bay, manakala projek pembangunan bercampur di atas tanah yang diberi milik kepada pihak swasta pula dipantau oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Gurney Bay, inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan kawasan Taman Rekreasi Awam di atas tanah yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai satu komponen di bawah projek Tambakan Laut Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2).