MELAKA: Tiga anggota Geng Bacin direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan tiga kes rompakan sekitar Melaka Tengah pada Isnin dan Selasa lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata dua daripada suspek yang berumur 33 hingga 38 tahun itu merupakan bekas anggota polis, yang dibuang kerja pada 2021, manakala seorang bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah jabatan kerajaan.

“Kesemua suspek ditahan antara 3 petang dan 7.30 malam di sekitar Tehel, Jasin pada 7 Mei selepas polis menerima tiga laporan berkaitan kes samun berkawan menggunakan senjata menyerupai sepucuk pistol melibatkan tiga premis kedai runcit dan beg.

“Kes samun itu dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Telok Mas, Krubong dan Taman Tambak Paya Harmoni pada 6 dan 7 Mei lepas dengan anggaran kerugian RM1,150,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas satu objek menyerupai pistol, parang dan pisau, dua kereta, sebuah motosikal, empat telefon bimbit pelbagai jenama.

Zainol berkata siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah, dan ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis Methamphetamine.