KLUANG: Polis menahan tiga lelaki dipercayai melarikan dan mencederakan seorang mangsa lelaki berusia 30-an menggunakan senjata tumpul di Taman Lian Seng di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada orang awam pada 9.30 malam hari yang sama.

“Kesemua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan di Jalan Ladang Nenas Simpang Renggam di sini dan sekitar kawasan Iskandar Puteri pada 1.15 pagi, semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul menggunakan senjata tumpul seperti besi dan alatan bengkel motosikal,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami luka seluruh badan termasuk retak pada dagu sedang dirawat di sebuah hospital.

“Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala kesemuanya negatif terhadap dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan,“ katanya dan menambah pihaknya sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terbabit kejadian itu.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan kejadian berkenaan membabitkan beberapa individu yang dilihat memukul seorang lelaki.