PUTRAJAYA: Dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai dalang utama sindiket ejen haram antara lapan individu ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Putrajaya, Puching, Kelana Jaya dan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Turut ditahan dalam operasi pada 4 dan 5 Sept bermula 3.22 petang itu seorang lelaki Vietnam dan India dipercayai ahli sindiket, selain tiga wanita terdiri daripada dua warga Vietnam dan seorang Sri Lanka.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan kesemua suspek yang berusia 22 hingga 42 tahun.

“Pasukan operasi merampas 209 pasport pelbagai negara terdiri daripada 131 pasport India, Sri Lanka (22), Bangladesh (18), Indonesia (10), Vietnam (10), Nepal (lapan), Pakistan (enam) dan Myanmar (empat). Pasukan operasi turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, sebuah kenderaan Proton Exora, Nissan Almera dan Audi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata sindiket menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan berurusan dengan JIM berkaitan pasport dan pas seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan kerja Sementara (PLKS), pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan visa dengan dikenakan bayaran RM500 hingga RM1,100 bagi perkhidmatan ditawarkan.

“Semakan awal mendapati seorang lelaki warga Vietnam mempunyai pas yang masih sah laku, dua wanita Vietnam dan seorang wanita Sri Lanka telah tinggal lebih masa manakala warga asing lain tidak memiliki sebarang dokumen yang perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua warga asing kini ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 manakala ketiga-tiga warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.