MELAKA: Tourism Malaysia menjangkakan lonjakan kehadiran pelancong asing terutama dari ASEAN dan Eropah di bawah kepimpinan kerajaan baharu.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata buat masa ini pihaknya akan meneruskan semua perancangan yang telah diatur seperti menggalakkan pelancongan domestik dan mengadakan promosi antarabangsa.
“Dalam masa yang sama pameran fizikal juga akan diteruskan berikutan impak positif yang dihasilkan, manakala kehadiran pesawat antarabangsa seperti KLM dan Turkish Airline yang memulakan kembali penerbangan ke Malaysia turut memberi lonjakan kemasukan pelancong,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan siri jelajah Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022 di Aeon Bandaraya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia menyasarkan lebih RM1juta dapat diraih menerusi siri jelajah berkenaan di Melaka yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.
Menurutnya kutipan menerusi lapan siri jelajah di negeri lain termasuk di Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor sangat memberangsangkan iaitu mencecah RM8.03juta.
“Di Melaka sebanyak 30 pengiat industri terdiri daripada pengusaha produk, agensi pelancongan, hotel, dan taman tema mengambil bahagian sebagai pempamer dengan menawarkan pakej percutian dan penginapan serta tiket masuk pada harga istimewa.
“Ini diharap dapat menarik minat penduduk di sekitar Melaka dan Johor untuk mengunjungi reruai pempamer bagi mendapatkan pakej percutian pada harga terbaik,“ katanya. - Bernama